TANJUNG MALIM – Seramai 12 pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terpilih untuk menyertai program Fellowships Australia 2023 selama 16 bulan di negara tersebut bermula 1 Ogos lalu hingga 31 Disember tahun hadapan.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pemilihan kesemua pensyarah tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap institusi pengajian tinggi berkenaan.
“Dengan pemilihan itu, mereka sekali gus menjadi peneraju untuk aktiviti selaras dengan visi dan misi Centre on Disability & Community Inclusion (CCDI) UPSI sebagai pusat rujuk orang kurang upaya (OKU) negara pada masa depan.
“Anugerah berprestij Fellowships Australia 2023 tajaan kerajaan Australia melalui Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan (DFAT) itu sudah memasuki siri ke-18 pada 2023 dan ini adalah adalah kali pertama UPSI terpilih menyertainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Para pensyarah itu diketuai oleh Prof. Dr. David Evans dari Universiti Sydney manakala Dr. Hasrul Hosshan mengetuai kumpulan penyelidik UPSI bersama 11 yang lain iaitu Dr. Masayu Dzainudin, Dr. Iylia Dayana Shamsudin, Dr. Nurfarhana Diana Mohd. Nor dan Dr. Mazarul Hasan Mohamad Hanapi.
Turut terlibat ialah Dr. Nik Muhammad Hanis Nek Rakami, Ts. Dr Mohd. Ridhuan Mohd. Jamil, Dr. Mohd. Syaubari Othman, Dr. Mohd. Muslim Md. Zalli, Dr. Nor Mashitah Mohd. Radzi, Dr. Vestly Kong Liang Soon serta Dr. Mohd Fadhil Harfiez Abdul Muttalib.
Menurut Md. Amin, selain itu, Dr. Rosmalily Mohd. Salleh dari Bahagian Pembangunan Kurikulum; Guru Cemerlang dan Pelajar Doktor Falsafah Pendidikan Khas UPSI, Siti Intan Farhana Mohd. Fawzy serta Penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Trolak Selatan, Rosliah Ibrahim pula berperanan meraikan OKU dalam komuniti.
Sementara itu, Dr. Hasrul berkata, mereka yang mengertai program bertajuk Enhancing Partnerships Between Malaysia and Australia to Build Sustained Benefit for All akan menerbitkan artikel bersama peserta lain iaitu beberapa ahli penyelidik pusat penyelidikan di Universiti Sydney.
“Ia membabitkan Centre for Disability Research and Policy, Centre on Disability Studies, The South East Asia Centre serta Brain dan Mind Centre. UPSI menerima AUD414,000 (RM1,242,000) bagi menjayakan program itu.
“Jumlah kewangan ini adalah untuk menampung kos aktiviti yang merangkumi elaun tiket penerbangan, elaun tempat tinggal, elaun sara diri, elaun yuran kursus dan elaun kesihatan sepanjang tempoh program berlangsung,” katanya. – KOSMO! ONLINE