SEPANG – Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) membuat pelaburan tepat mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM100,000 untuk ‘menerbangkan’ Rosenstolz ke Sukan Asia Hangzhou di China.
Walaupun sudah tua tetapi kuda kesayangan jaguh ekuestrian negara, Muhammad Qabil Ambak Mahamad Fathil itu masih ‘berbisa’ apabila berjaya memenangi pingat emas acara dressage individu pada temasya berkenaan.
Presiden EAM, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman mendedahkan, pihaknya sanggup mengeluarkan dana sebanyak itu kerana acara dressage memerlukan jenis kuda yang amat baik seperti Rosenstolz.
“Ini kuda Qabil sendiri, dia letak kuda ini di Eropah. Kita bayar kos ambil kuda itu terbang ke China. Saya ingat bil kita dalam RM100,000 untuk pergi dan balik.
“Kuda itu berlatih di sana (Eropah). Sebagai EAM, kita ada bajet dan belanjakan untuk potensi pemenang pingat di Sukan Asia Hangzhou, jadi kami sangat bersyukur dengan kejayaan ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Tambah Abdul Aziz, kejayaan Qabil Ambak secara tidak langsung memberikan petanda positif kepada sukan itu untuk terus bergerak aktif mencari pelapis-pelapis baharu di peringkat akar umbi.
“Kita ada 22 persatuan di peringkat negeri dan daripada situ, kita ambil mereka yang berpotensi. Kita membuat pendedahan kepada atlet sebanyak tiga bulan sekali untuk menyertai pertandingan.
“Apa yang penting adalah pendedahan di peringkat antarabangsa seperti Qabil yang banyak melibatkan diri dengan pertandingan di Asia Barat supaya mendapat saingan hebat daripada penunggang-penunggang lain,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE