fbpx

Takut kahwin kerana hidup serba kekurangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keinginan untuk berkahwin dilepaskan DIn daripada dalam hatinya apabila menyedari kemiskinan dirinya hanya akan ‘menyeksa’ isteri dan zuriatnya kelak. – Gambar hiasan

MELIHAT orang lain memiliki keluarga yang sempurna ternyata membuatkan seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Din menyimpan hasrat sama.

Pun begitu, Din yang kini berusia awal 50-an memiliki ketakutan tersendiri yang telah lama bersarang di dalam dirinya sehingga membuatkan dia tidak mahu berkahwin dan memiliki keluarga.

Membesar dalam kemiskinan ternyata telah menjadi satu ‘trauma’ buat dirinya untuk membina keluarga sendiri.

“Saya dibesarkan dalam kemiskinan dan berhadapan dengan peristiwa pahit sewaktu kecil yang membekas di hati saya sehingga sekarang.

“Ketika saya berusia sembilan tahun, ayah saya telah meninggal dunia, jadi saya bersama seorang lagi adik dibesarkan ibu sahaja,” katanya.

Mengingati zaman kecilnya, mereka sekeluarga dihina oleh saudara-mara mereka sendiri.

Malah, segala harta peninggalan bapanya dibolot oleh saudara-maranya yang lain.

Dia sendiri melihat ibunya harus bekerja keras bagi membolehkan mereka sekeluarga meneruskan hidup.

“Dihina oleh saudara-mara sendiri adalah perkara biasa. Ada ketikanya kami perlu mengemis untuk mendapatkan sedikit ihsan bagi mendapatkan makanan.

“Malah, ibu saya ketika itu juga sering menjadi buah mulut orang kampung kerana status ‘janda’ dan mereka risau jika dia menggoda suami orang.

“Mendengar ibu saya dihina sebegitu siapa yang tidak sakit hati, tetapi kerana masih kecil saya tidak dapat untuk berbuat apa-apa,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, Din berkata, ketika di alam persekolahan, dia turut dihina kerana berasal daripada keluarga miskin.

Bahkan, dia pernah dimalukan di hadapan pelajar-pelajar yang lain kerana bajunya yang lusuh.

Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk berhenti sekolah pada usia 15 tahun memilih untuk bekerja bagi membantu ibunya.

Pelbagai kerja dilakukannya bagi membolehkan dia membantu keluarganya.

Akhirnya, pada usia awal 20-an, Din mengambil keputusan untuk berhijrah ke ibu kota untuk bekerja.

Semakin meningkat dewasa, dia mempunyai keinginan untuk berkahwin tetapi ketakutan yang mencengkam dalam dirinya membuatkan dia tidak meneruskan niat itu.

“Saya takut untuk berkahwin kerana berasa tidak mampu untuk memberi kesenangan kepada isteri dan anak-anak saya.

“Saya tidak mahu mereka mengalami apa yang saya alami iaitu terpaksa hidup dalam kemiskinan kerana ia sesuatu yang memeritkan,” terangnya ketika ditemui di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Din berkata, tindakannya untuk tidak berkahwin dan berkeluarga adalah keputusan yang tepat kerana hidupnya kini juga masih dalam serba kekurangan.

Terangnya, dia tidak bernasib baik dalam pelajaran dan tidak memiliki kerjaya yang bagus.

Malah, pelbagai kerja sudah dilakukan olehnya apabila berhijrah ke ibu kota.

“Saya pernah bekerja sebagai pembantu kedai makan, buruh binaan, penjaga tempat meletakkan kereta, pembantu di pasar borong dan lain-lain lagi.

“Kini, saya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan hanya mampu menyewa sebuah bilik kecil untuk menginap,” terangnya.

Pendapatan yang diterima olehnya tidak terlalu banyak dan sebahagiannya dikirim ke kampung untuk ibu dan adiknya.

Bahkan, setelah melihat adik perempuannya yang berhadapan dengan kegagalan dalam perkahwinan juga membuatkan Din semakin rasa takut untuk berkahwin.

“Adik saya ditinggalkan oleh suaminya begitu sahaja dan dia harus membesarkan anak-anak dalam serba kekurangan.

“Saya dapat merasakan anak-anaknya mengalami apa yang saya lalui pada waktu kecil.

“Setiap bulan, saya akan mengirim wang bagi membolehkan adik dan anak-anaknya teruskan hidup,” terangnya.

Din mengakui, dia sendiri berhadapan dengan masalah kewangan memandangkan pendapatan yang diterimanya tidaklah seberapa.

Ada ketikanya dia terputus bekalan makanan dan apa yang boleh dilakukannya untuk mengisi perut adalah merayau-rayau di sekitar Chow Kit.

Ini kerana Chow Kit sering menjadi lokasi orang ramai menyumbang makanan kepada gelandangan di kawasan itu.

Malah, melihat anak-anak kecil yang turut menjadi gelandangan ternyata membuat Din semakin mempunyai rasa takut untuk berkeluarga.

Dia takut zuriatnya itu akan mengalami nasib yang sama seperti anak-anak gelandangan yang lain.

“Dengan usia yang lanjut ini saya merasakan hidup saya memang ditakdirkan untuk tidak berkahwin dan mempunyai keluarga.

“Saya reda dengan ketentuan ini dan gembira dengan kehidupan walaupun hidup dalam serba kekurangan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI