fbpx

Sindiket pemalsuan dokumen didalangi warga Bangladesh tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JIM Johor menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen melibatkan warganegara asing menerusi serbuan dijalankan di Gelang Patah, Khamis lalu.

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen (JIM) Johor telah menumpaskan sindiket pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan khidmat pendaftaran Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang didalangi warga Bangladesh.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, sindiket itu berjaya ditumpaskan dengan penahanan enam individu melibatkan lima warga Bangladesh dan seorang warga Nepal.

Menurut beliau, salah seorang daripada warga Bangladesh itu juga merupakan pemegang taraf Penduduk Tetap.

“Operasi itu dijalankan di sebuah premis Gelang Patah, pada pukul 4.50 petang, Khamis lalu ekoran maklumat awam dan juga hasil risikan yang dijalankan Unit Tindakan dan Operasi, sepasukan Pegawai Imigresen dari Bahagian Penguatkuasa JIM Johor.

“Seorang warga Bangladesh dipercayai menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen perjalanan, tiket penerbangan, e-visa dan khidmat pendaftaran Program RTK 2.0 serta PLKS. Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu dan telah mengaut keuntungan sehingga puluhan ribu ringgit,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut merampas empat pasport India, satu komputer, satu mesin pencetak, enam telefon bimbit, satu set salinan dokumen perjalanan dan permit disyaki palsu serta wang tunai berjumlah RM320.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Manakala seorang warga Bangladesh berstatus Penduduk Tetap ditahan di bawah Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 ( Akta 155 ) kerana melindungi warga asing,” ujarnya.

Baharuddin turut menggesa orang awam agar menyalurkan aduan dan maklumat berkaitan warga asing kepada pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI