fbpx

Qabil Ambak sebak selepas tiba di tanah air?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
QABIL AMBAK diiringi ahli keluarganya sejurus tiba di tanah air susulan kejayaan meraih pingat emas ekuestrian pada Sukan Asia Hangzhou di KLIA semalam. – BERNAMA

BINTANG ekuestrian negara, Muhammad Qabil Ambak Mahamad Fathil memberi bayangan sedia bersara selepas berjaya merealisasikan impian sepanjang 28 tahun bergiat aktif dalam sukan berkenaan.

Ia menerusi kejayaan Qabil Ambak, 43, memenangi pingat emas Sukan Asia Hangzhou dalam acara dressage individu bersama kudanya, Rosenstolz sekali gus menamatkan penantiannya dalam lima penampilan terdahulu di temasya berkenaan.

“Saya sudah 28 tahun mewakili negara, enam Sukan Asia dan akhirnya tercapai emas selepas lama menanti. Terima kasih kepada ibu bapa dan keluarga dari segi bantuan sokongan serta dorongan tak kira wang ringgit untuk beri yang terbaik.

“Jika saya mampu, ada sokongan, kalau ada kekuatan berjuang saya akan teruskan. Umur juga sudah meningkat, ada keluarga dan banyak komitmen serta tanggungjawab, jadi ia (persaraan) dalam pertimbangan,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Dalam masa sama, Qabil Ambak juga langsung tidak menyesali tiada penampilan Sukan Olimpik dalam kariernya selepas memilih ‘mengorbankan’ peringkat kelayakan ke Paris 2024 yang sedang berlangsung sehingga hujung Disember depan.

Jaguh dari Kuala Lumpur itu menjelaskan, dia perlu mengeluarkan kos yang lebih besar berbanding Sukan Asia jika mahu menyertai kelayakan tersebut.

“Saya dalam senarai simpanan semasa Olimpik Tokyo 2020 tetapi diberitahu agak lewat, jadi saya ambil keputusan tidak menyertainya. Kali ini saya merasakan peluang di Sukan Asia lebih cerah berbanding kelayakan Olimpik.

“Kosnya lebih besar dan perlu mencari kuda lagi. Jadi, saya buat keputusan untuk fokus kepada Sukan Asia. Saya lepaskan Olimpik kerana tahu sukar dan banyak kos diperlukan.

“Dulu saya seorang okay tetapi sekarang ada keluarga. Untuk diri sendiri, saya dah capai sebanyak yang boleh untuk negara. Saya tiada perancangan kerana misi saya tahun ini ialah Sukan Asia dan sudah tercapai,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI