KLANG – Seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas tersepit dalam mesin di sebuah kilang di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 11.27 pagi.
Katanya, sepasukan enam pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikerah dalam operasi itu.
“Pemeriksaan mendapati seorang mangsa warga Bangladesh tersepit di dalam mesin jenis mixer dan usaha mengeluarkan lelaki berkenaan masih sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah Ahmad Mukhlis, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di tempat kejadian dan pemeriksaan lanjut sedang dijalankan pihak polis. – KOSMO! ONLINE