fbpx

MSAM 2023: Tok Mat menang rumah teres RM500,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mat Zin (tengah) bersama Normah (kiri) dan Umi Kalsum di majlis penutup MSAM 2023 di Setia Fontaines, Bertam, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Usia tidak menghalang seorang warga emas menjawab soalan e-peraduan pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 apabila dia dipilih sebagai pengunjung bertuah dengan memenangi sebuah rumah teres setingkat bernilai RM500,000 di Setia Fontaines Amansara North, Bertam, hari ini.

Mat Zin Husin,71, yang berasal dari Kampung Sawa, Pendang di Kedah berkata, beliau tidak menaruh harapan dan hanya mencuba nasib mengisi jawapan peraduan utama menerusi aplikasi PNB Events selepas mengunjungi karnival tersebut bersama anak dan menantunya pada Sabtu lalu.

“Anak ajak, saya ikut saja, dapat juga berjalan-jalan, sambil tambah pengetahuan mengenai pelaburan dan perancangan kewangan.

“Saya isi jawapan sambil dibantu anak-anak dan masing-masing mencuba nasib, mana tahu kalau ada rezeki.

“Alhamdulillah, tak sangka akan menang sebuah rumah di Setia Fontaines Amansara North, Bertam namun buat masa ini, saya belum fikir lagi sama ada mahu berpindah ke sini atau sebaliknya,” katanya demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup MSAM 2023 di sini, hari ini.

Perasmian penutup disempurnakan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid. Hadir sama ialah Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Sementara itu, seorang suri rumah, Normah Bunsu,29, pula berjaya memenangi sebuah kereta Perodua Axia manakala penggubah bunga, Umi Kalsum Yaakub,46, menerima sebuah motosikal jenis Yamaha MT-25.

Normah berkata, beliau sememangnya aktif menghadiri karnival literasi kewangan itu yang pernah berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan tahun lalu dan di Sungai Petani, Kedah pada tahun 2019.

“Walaupun rajin ke MSAM, tapi saya tak pernah menang sebarang cabutan bertuah dan syukur, kali ini berpeluang memenangi kereta.

“Sebelum ini, saya memang tidak ada kereta dan hadiah ini akan dijadikan kegunaan harian,” katanya.

Umi Kalsum yang datang dari Semenyih, Selangor memberitahu, dia ke Pulau Pinang untuk bercuti bersama enam daripada lapan anaknya dari Rabu sehingga Jumaat lalu.

Katanya, mereka sekeluarga singgah ke MSAM dan cuba nasib isi e-peraduan di samping mengunjungi ruang pameran yang disediakan.

“Apabila penganjur ‘call’ malam tadi dan minta saya hadir ke majlis penutup, pada mulanya saya tidak percaya dan ingatkan ‘scammer’. “Kami kemudiannya bertolak dari rumah dan sampai ke sini pukul 3 pagi tadi.

“Memang tak sangka rezeki berpihak kepada kami kali ini dan terima kasih kepada penganjur yang menyediakan pelbagai hadiah menarik buat pengunjung,” katanya.

MSAM 2023 yang berlangsung dari 30 September sehingga hari ini mencerminkan usaha berterusan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat negara ini.

Program yang dianjurkan sejak tahun 2000 itu kali ini memfokuskan elemen STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik yang diterapkan dalam kandungan dan ruang pameran. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI