TANAH MERAH – Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini memutuskan seorang peniaga yang mendakwa dia ‘dimadukan’ isteri keduanya masih kekal sebagai suami isteri.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Ahmad Hariri Mohd. Saat selepas Rahaman Mohamed Jaafar, 47, membuat sumpah penafian bahawa beliau tidak pernah menceraikan isterinya, Wan Nor Shakirin Wan Abdul Razak, 32 selaku plaintif.
“Menerusi lafaz sumpah defendan, maka defendan dan plaintif masih kekal sebagai suami isteri melainkan plaintif hadir ke mahkamah dengan bukti baharu,” ujarnya ketika membacakan keputusan permohonan lafaz cerai antara Rahaman dan Wan Nor Shakirin hari ini.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Oktober ini untuk sebutan permohonan cerai yang difailkan oleh Wan Nor Shakirin.
Dalam pada itu, Rahaman ketika ditemui pemberita berkata, dia bersyukur apabila mahkamah memutuskan bahawa hubungannua dengan isteri kedua itu masih kekal sebagai suami isteri.
Katanya, dia masih sayangkan Wan Nor Shakirin meskipun wanita tersebut bertindak luar kawalan apabila berkahwin dengan lelaki lain.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, luruh hati seorang lelaki apabila mendapati isteri kedua yang menghilangkan diri sejak Januari lalu telah ‘memadukannya’ selepas ternampak gambar wanita itu bernikah dengan suami baharu di laman sosial.
Peniaga itu mendakwa, wanita yang dinikahinya di Narathiwat, Thailand pada Januari 2019 itu telah berkahwin lain di Mahkamah Syariah Besut, Terengganu pada April lalu selepas hilang tanpa khabar berita. – KOSMO! ONLINE