SHAH ALAM – “Lain kali janganlah ketap bibir semasa nyanyi.”
Itu antara komen salah seorang juri tetap All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Datuk Syafinaz Selamat, selepas menonton persembahan penyanyi Hady Mirza yang mendendangkan lagu Lemak Manis nyanyian asal Roslan Madun.
Komen tersebut mengundang tawa seluruh dewan namun Syafinaz berpendapat nyanyian Hady kedengaran merdu dan mempunyai lenggok bagi sebuah lagu Melayu.
“Biasa tengok nyanyi power, Hady ada suara yang hebat tetapi kali ini dapat lihat sisi berbeza Hady yang lemah lembut dan manis daripada Hady. Itu adalah elemen dalam lagu Melayu.
“Lenggok masih boleh diperbaiki. Saya faham lagu tradisional bukan mudah untuk dinyanyikan kalau tidak biasa. Secara keseluruhan, saya seronok.
“Cuma janganlah ketap bibir masa menyanyi tadi,” komennya selepas persembahan.
Selain Syafinaz, rancangan popular itu menyaksikan kesemua bintang diadili oleh juri profesional iaitu Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang.
Konsert ASGV diacarakan trio pengacara, Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Elly Mazlein.
ASGV memperlihatkan persaingan 10 bintang yang terdiri daripada juara-juara GV dari musim pertama hingga kesembilan.
Tambahan enam lagi bintang dipilih berdasarkan undian peminat menjadikan jumlah keseluruhan peserta ASGV adalah seramai 16 peserta.
Juara ASGV akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro. – KOSMO! ONLINE