fbpx

Graduan cemerlang berkat doa ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Asyraf di samping ibu bapa selepas menerima diploma dan anugerah cemerlang sempena Istiadat Konvokesyen Ke-35 Polimas di Jitra, hari ini.

JITRA – Seorang graduan Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Polimas) yang meraih Anugerah Pengarah pada konvokesyennya beranggapan kejayaan itu adalah berkat doa dan restu ibu bapanya.

Muhammad Asyraf Mohd Kahar, 21, yang berasal dari Yan, dekat sini itu berkata, selain itu hubungan erat dengan pensyarah sepanjang tiga tahun pengajian Diploma Kejuruteraan Awam turut menjadi formula kecemerlangannya.

“Saya perasan satu perkara sahaja iaitu bila kita hormat ibu bapa, patuh dan sentiasa memohon restu mereka dalam setiap pergerakan kita, Allah permudahkan segalanya.

“Selain itu, hubungan dengan pensyarah mesti erat, hormati mereka dan seringlah minta nasihat,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Ke-35 Polimas, di sini hari ini.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Muhamad Rumzi Mamat.

Muhammad Asyraf yang kini menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) mendapat Himpunan Purata Nilai Mata 3.66.

Dia merupakan salah seorang daripada 2,302 graduan yang menerima diploma masing-masing dalam bidang Kejuruteraan Awam, Elektrik, Mekanikal, Teknologi Komunikasi dan Maklumat serta Perdagangan.

Dalam pada itu menurut Muhamad Rumzi, politeknik dan kolej komuniti (Polycc) terbukti melahirkan ramai graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)  berkemahiran keusahawanan yang berjaya dalam bidang masing-masing.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI