KABUL – Angka kematian akibat beberapa siri gempa bumi di barat Afghanistan meningkat secara mendadak kepada lebih 2,000 orang setakat petang ini ketika pasukan penyelamat terus mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan bangunan.
Gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter menggegarkan Afghanistan semalam, diikuti dengan lapan gegaran susulan yang kuat di kawasan yang sukar dicapai sejauh 30 kilometer dari barat laut wilayah Herat.
“Jumlah kematian boleh dikatakan sangat tinggi iaitu mencecah 2,053 orang. Kami sedang menunggu untuk melihat sama ada angka akhir akan berubah,” kata jurucakap kerajaan, Bilal Karimi.
Pada malam semalam, seorang wartawan AFP melaporkan melihat berpuluh-puluh rumah di Kampung Sarbuland berhampiran pusat gempa musnah akibat gegaran selama lebih lima jam.
Sekumpulan lelaki bekerjasama menggali timbunan batu yang hancur manakala wanita dan kanak-kanak menunggu di tempat terbuka.
“Semua rumah runtuh selepas gegaran pertama. Mereka yang berada di dalam runtuhan dikebumikan. Ada ahli keluarga yang kami langsung tidak mendengar khabar berita,” kata seorang penduduk, Bashir Ahmad.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, lebih 600 rumah musnah atau sebahagiannya rosak di sekurang-kurangnya 12 kampung di wilayah Herat, dengan kira-kira 4,200 penduduk terjejas.
Jumlah kematian dijangka meningkat kerana operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, tambah WHO. – AFP