LONDON – Kemenangan 4-1 ke atas Paris Saint-Germain di Liga Juara-Juara tidak memberi makna besar buat Newcastle United kerana perjalanan musim ini masih lagi jauh untuk ditamatkan.
Pengurusnya, Eddie Howe tidak melihat kejutan ke atas gergasi Perancis itu akan melonjakkan The Magpies sebagai kelab nombor satu dunia dan fokus perlu segera dialihkan pada aksi dengan West Ham United malam ini.
“Saya akan sentiasa bersikap waspada kerana kami belum membuktikan apa-apa lagi, malah musim ini juga masih di peringkat awal. Masih banyak yang kami perlu buktikan sebelum kami boleh berkata apa-apa.
“Pada masa ini kami bukannya kelab nombor satu. Kami sedang mencuba ke arah itu, namun semuanya akan mengambil masa dan tiada sebarang keajaiban boleh dilakukan.
“Kami kena buat keputusan tepat dan bekerja keras setiap hari. Jika itulah matlamatnya, maka kami akan mencuba sehabis baik untuk merealisasikannya,” katanya.
Selepas genap dua tahun pengambilalihan kelab oleh Dana Pelaburan Awam Arab Saudi, Newcastle sudah pun berbelanja besar dan pengerusi kelab, Yasir Al-Rumayyan pernah menyatakan cita-citanya untuk menjadikan Newcastle sebagai pasukan nombor satu dunia
“Saya selalu katakan wang adalah sebahagian daripada kejayaan, namun saya tidak fikir ia akan jadi segala-galanya. Sekiranya kami mendapatkan pemain baharu, kami cuba untuk melayan sama rata dengan pemain sedia ada dan saya akan melatih mereka untuk jadi lebih baik,” jelasnya. – AGENSI