KATA orang, cakap siang pandang-padang, cakap malam dengar-dengar.
Barangkali pepatah tersebut sesuai menggambarkan situasi yang menghimpit isteri kepada penyanyi dan pelakon Mawi iaitu Ekin yang mencetuskan perdebatan ramai berhubung dakwaan pemilik sebuah restoran di Johor Bahru (JB) mengenakan harga ‘Yahudi’ atau cekik darah.
Ironi, selepas membuat pendedahan dalam media sosial, pemilik restoran terbabit memulangkan paku buat keras kepada Ekin atau nama sebenarnya, Nora Asyikin Rahmat dengan menafikan tuduhan awal wanita itu.
Tampil menceritakan perkara sebenar, pemilik restoran makanan laut itu memaklumkan, Ekin ‘bertandang’ ke restorannya dengan ahli keluarga yang dianggarkan sekitar 20 orang, termasuk beberapa orang kanak-kanak.
Rakyat tersepit wang?
Maka, bermulalah perdebatan antara kedua-dua pihak terbabit dengan campur tangan beberapa individu termasuk pelakon Linda Hashim. Isteri Beego itu mendakwa, pemilik restoran adalah ibu saudaranya dan Ekin tidak sepatut memilih jalan ‘viral’ yang akhirnya terkena batang hidung sendiri.
Mana tidaknya, kalau diikutkan perkiraan waras, 20 kepala menikmati juadah di sebuah restoran terkenal di Johor Bahru dengan harga lebih RM1,200, itu bukanlah satu konflik besar pun sebenarnya.
Adakah faktor kemerosotan ekonomi atau kewangan membuatkan rakyat terkesan, kemudian membuta-tuli meletakkan harga atau ‘merengek’ dalam media sosial.
Semua benda sekarang diukur pada kuantiti atau harga melampau.
Itu tepuk dada, tanyalah selera kerana masing-masing punya tanggungjawab dan komitmen sendiri yang berbeza-beza.
Tak panjangkan isu – Ekin
Berbalik soal kemelut Ekin dan ‘mak cik’ restoran JB, pelakon dan usahawan itu memilih untuk tidak lagi memanjangkan apa yang tercetus.
Diminta bersemuka dengan wanita terbabit, Ekin bagaimanapun enggan berbuat demikian. Katanya, tiada keperluan.
“Bayaran pun sudah dijelaskan dan makanan masuk perut. Tak perlu untuk saya panjangkan isu ini, apatah lagi bertemu dengan individu tersebut.
“Niat kami sebenarnya mahu berkongsi rezeki. Tetapi lain pula jadinya. Kami ke kedai tersebut pun, dia yang panggil. Tetapi tidak mengapa, isu tersebut tidak perlu dipanjangkan lagi,” katanya.
Sebagai seseorang yang membesar di negeri Selatan tanah air itu (dan barangkali, Ekin juga menyedari memandangkan dia juga orang Johor), harga yang dicaj bukanlah sesuatu yang ‘pelik’.
Dari satu sudut yang lain juga, pemilik restoran sepatutnya memperincikan setiap juadah yang dinikmati Ekin dengan jelas pada resit sebelum dia memilih untuk jalan ‘toksik’ media sosial yang makin menyemarakkan api kemarahan ramai.
Sementara itu, buat sesiapa yang bergelar figura terkenal, jangan hanya kerana punya pengaruh dan ‘following’ yang besar terus berpusu-pusu ingin memilih jalan viral.
Bukan apa, kerana takut apa yang didedahkan kalau silap gaya, hanya membuka pekung sendiri yang akhirnya merugikan ramai pihak.
Bukan melantun terkena batang hidung sendiri, turut terpalit orang sekeliling yang turut masuk campur termasuk netizen.