fbpx

BN gagal tambah sokongan di DUN Pelangai walaupun menang – Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin

PETALING JAYA – Perikatan Nasional (PN) mendakwa keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai semalam menunjukkan Barisan Nasional (BN) gagal menambah sokongan.

Ini kerana kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, BN telah bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dan seluruh jentera serta sumber kerajaan dikerah secara terang-terangan untuk membantu kempen parti itu.

Jelasnya, walaupun PN tidak memenangi kerusi tersebut, parti itu menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 1,115 undi.

Malah katanya, majoriti yang diperolehi oleh BN pula merosot daripada 4,048 dalam PRU-15 kepada 2,949 dalam PRK semalam.

“Saya percaya seperti mana trend dalam Pilihan Raya Negeri dan siri Pilihan Raya Kecil sebelum ini, tidak berlaku pemindahan undi (vote transferability) yang ketara antara PH dan BN.

“Sebaliknya, yang berlaku ialah peralihan sokongan kepada PN, terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu,”katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Bagaimanapun tambah Muhyiddin, PN menghormati pilihan yang telah dibuat oleh pengundi-pengundi di DUN Pelangai dalam PRK yang baru berlangsung.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera PN yang telah bertungkus-lumus berkempen dan juga kepada para pengundi di DUN Pelangai yang telah mengundi calon PN,”katanya.

Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan Barisan Nasional berjaya mempertahankan kerusi DUN Pelangai apabila memperoleh majoriti 2,949 undi.

Dalam pertembungan tiga penjuru itu, calon BN, Datuk Amizar Abu Adam mendapat 7,324 undi dan Calon PN, Kasim Samat mendapat 4,375 undi manakala Calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni mendapat 47 undi.

Kerusi N36 Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI