fbpx

Beras Siam naik harga, orang Kelantan tidak kisah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG peniaga melayan pelanggan membeli beras Siam di sebuah pasar di Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Biarpun harga beras Siam meningkat hampir 20 peratus berbanding sebelum ini, rata-rata penduduk di negeri tidak kisah malah sanggup ber­belanja lebih demi mendapatkan bahan mentah itu.

Azmah Ismail, 60, berkata, keluarganya sudah serasi dengan beras Siam sejak lebih 30 tahun lalu dan dia sanggup merentas ke sempadan Thailand untuk membeli bahan mentah berkenaan sekiranya bekalan di sini tiada.

“Sebelum ini, harga beras Siam untuk lima kilogram (kg) dijual RM16 dan kini naik kepada RM22. Bagi kampit beras 10kg pula, naik daripada RM28 kepada RM39 untuk gred yang sederhana.

“Harga beras Siam ini bergantung kepada gred. Ada yang mahal sehingga boleh mence­cah RM47 untuk 10kg.

“Setakat ini, saya masih mampu membeli beras Siam meski­pun berlaku kenaikan harga sejak kebelakangan ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Pasar Pulau Melaka di sini, semalam.

Seorang lagi pembeli beras Siam, Atikah Abdullah, 35, berkata, dia pada awalnya terkejut apabila harga beras Siam meningkat secara mendadak sejak sebulan lalu seiring dengan harga beras tempatan.

Katanya, dia sering membeli beras Siam di zon bebas cukai Pengkalan Kubor, Tumpat kerana harga di sana murah sekitar RM1 hingga RM2 berbanding di Kota Bharu.

“Meskipun berlaku kenaikan harga, masyarakat di Kelantan lebih suka membeli beras Siam berbanding dengan beras ­tempatan.

“Saya dan suami akan ke zon bebas cukai Pengkalan Kubor atau Rantau Panjang untuk membeli beras Siam. Satu guni yang mengandungi lima kampit beras 5kg sudah mencecah RM100 berbanding sebelum ini hanya RM75,” ujarnya.

Seorang peniaga nasi berlauk, Ibrahim Ismail, 56, berkata, meskipun harga beras Siam mahal, dia tidak menaikkan harga makanan di premisnya.

“Saya menggunakan beras Siam untuk jualan nasi berlauk. Meskipun kos naik, saya masih mendapat untung antara RM1 hingga RM2 setias satu bungkus nasi.

“Beras Siam ini berbeza dengan beras tempatan. Teksturnya akan menjadi lebih besar dan berderai. Keadaan itu menyebabkan kuantiti nasi yang digunakan tidak terlalu banyak berbanding beras tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI