GEORGE TOWN – Bekas pesakit kanser limfoma tahap tiga, Aliff Haikal Ayob, 19, tidak menjadikan penyakit yang dihidapnya itu sebagai penghalang untuk dia mencapai impian sebagai ahli mikrobiologi.
Biarpun terpaksa berulang alik untuk menjalani rawatan di hospital sejak usianya 10 tahun hingga 17 tahun, Aliff Haikal tetap cemerlang dalam pelajaran sehingga berjaya mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi di Universiti Sains Malaysia (USM).
Aliff Haikal berkata, dia bersyukur kerana telah disahkan bebas sepenuhnya dari kanser pada 2021, namun dia masih perlu melakukan pemeriksaan kesihatan setiap tahun di hospital bagi memastikan penyakit berkenaan tidak berulang kembali.
Dia yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik berkata, penyakit kanser yang dihidapnya itu juga menjadi salah satu faktor yang mendorongnya untuk lebih meminati bidang sains biologi kerana banyak masanya dihabiskan di hospital.
“Sejak usia 10 tahun saya sering berulang alik ke hospital untuk menjalani rawatan dan di hospital saya dapati subjek biologi amat menarik untuk didalami memandangkan ia berkaitan dengan manusia.
“Apabila saya melihat kesan ‘chemo port’ di dada, ia amat mengingatkan saya mengenai penyakit kanser yang dialami dan menjadikan saya lebih semangat untuk belajar sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya ketika ditemui di Kompleks Cahaya USM di sini.
Aliff Haikal merupakan salah seorang daripada 4,696 calon daripada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (SPTM), Matrikulasi, Asasi, Diploma yang telah menerima tawaran bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda (sepenuh masa) dan Diploma yang mendaftar sebagai pelajar baharu bagi sidang akademik 2023/2024 di USM, hari ini.
Dalam pada itu, seorang pelajar orang kelainan upaya (OKU), Nursyuhaila Abdullah, 21, berkata, buat permulaan dia akan ditemani ibunya, Rosmawati Salleh,60, untuk tinggal di asrama penginapan pelajar memandangkan dia masih belum mahir dengan selok belok asrama serta USM.
Dia yang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan berkata, dia menghadapi masalah tulang belakang sejak dilahirkan dan dia memerlukan banyak bantuan untuk bergerak. – KOSMO! ONLINE