TEL AVIV – Tentera Israel mengisytiharkan ‘situasi perang’ selepas lebih 5,000 roket dilancarkan pejuang Palestin dari Semenanjung Gaza pada waktu subuh semalam.
Berbilang roket meluncur ke ruang udara dari pelbagai lokasi di seluruh wilayah Palestin itu selepas bedilan pertama berlaku pukul 6.30 pagi (waktu tempatan), lapor wartawan agensi berita AFP di Gaza
Serangan terbaharu itu berlaku susulan peningkatan keganasan selama beberapa bulan melibatkan konflik Israel-Palestin yang menyaksikan kematian di wilayah Tebing Barat diduduki Rejim Zionis mencecah angka yang belum pernah direkodkan selama bertahun-tahun.
Sementara itu, siren kecemasan bergema di selatan dan tengah Israel dengan tentera menggesa orang ramai berpindah ke pusat-pusat perlindungan bom.
Wartawan AFP di Baitulmuqaddis mendengar beberapa roket dipintas sistem anti peluru berpandu ‘Kubah Besi’ Israel selain bunyi siren di seluruh bandar didengari lebih kuat berbanding mana-mana konflik sejak tiga tahun lalu.
Pejuang Palestin mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan udara itu dan berkata, pihaknya telah melancarkan lebih 5,000 roket.
Akhbar The Guardian melaporkan bahawa sebagai tindak balas kepada serangan mengejutkan itu, tentera Israel telah mengisytiharkan ‘situasi perang’.
“Sebilangan pengganas (pejuang Palestin) menyelinap masuk ke wilayah Israel dari Semenanjung Gaza,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan sambil menambah, penduduk di sekitar Semenanjung Gaza diarahkan untuk tinggal di rumah mereka.
Seorang jurucakap kumpulan pejuang Palestin, Briged Ezzedine al-Qassam berkata: “Kami memutuskan untuk menamatkan semua jenayah pendudukan Israel, masa mereka untuk mengamuk tanpa bertanggungjawab sudah berakhir.
“Kami mengumumkan Operasi ‘Banjir Al-Aqsa’ dan dalam serangan pertama selama 20 minit, kami telah menembak lebih 5,000 roket,” katanya.
Beratus-ratus penduduk Palestin meninggalkan rumah mereka di timur Gaza untuk berpindah dari kawasan berhampiran sempadan Israel. Sebilangan lelaki, wanita dan kanak-kanak membawa selimut dan makanan ketika bergerak keluar dari kawasan itu.
Menurut tentera Israel, pejuang Palestin melancarkan ‘tembakan roket besar-besaran’ sementara pada masa yang sama, mereka menyelinap masuk ke wilayah Israel di beberapa lokasi berbeza.
Pejuang Palestin berkata, pihaknya turut merampas kereta kebal Israel.
Dalam perkembangan sama, seorang wanita Israel berusia 60 tahun terbunuh akibat terkena ‘serangan Palestin’ kata petugas perkhidmatan kecemasan, Magen David Adom. Kira-kira 15 mangsa lain dilaporkan cedera dengan dua daripada mereka parah.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pemimpin berkenaan akan segera memanggil mesyuarat ketua-ketua keselamatan berhubung serangan itu.
Kumpulan Hamas yang memerintah Gaza pula menyeru ‘pejuang di Tebing Barat’ serta ‘negara Arab dan Islam’ untuk menyertai pertempuran tersebut, kata Hamas dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam aplikasi Telegram.
Keganasan terbaru itu menyusuli tempoh ketegangan yang semakin memuncak pada September lalu apabila Israel menutup sempadan kepada pekerja Gaza selama dua minggu.
Penutupan itu berlaku ketika penduduk Palestin mengadakan bantahan di kawasan sempadan. Gaza-Israel. – AGENSI