PETALING JAYA – Seorang suspek bertindak menyerahkan diri kepada polis gara-gara tidak boleh tidur selama tiga bulan selain mengalami tekanan akibat diganggu bayangan kekasih yang dibunuhnya.
Suspek tersebut dikatakan dihantui bayangan kekasihnya yang telah meninggal dunia supaya menyerahkan diri kepada polis dan jika tidak berbuat demikian, dia akan terus mengganggunya.
Kisah itu diceritakan oleh seorang bekas anggota polis dikenali sebagai Daud Yatim menerusi video di TikTok berhubung pengalamannya sewaktu bertugas sebagai pengawal lokap.
“Mula-mula suspek ini bergaduh dengan kekasih dan minta duit. Kekasihnya tak mahu bagi duit dan dia minta gelang serta rantai. Kekasihnya tidak mahu bagi. Kemudian, dia ketuk kepala kekasihnya dan ambil gelang serta rantai.
“Rupanya ketukan ini ada pendarahan di kepala dan kekasihnya pengsan. Dia kemudian ambil (kekasihnya) dan campak dalam semak. Esoknya, dia pergi tengok dan rupanya kekasihnya telah mati.
“Dia kemudian ambil mayat kekasihnya dan campak di dalam sungai,” katanya bercerita pada video yang dimuat naik baru-baru ini.
Daud berkata, suspek tersebut didakwa mengalami tekanan sehingga tidak boleh tidur malam selain diganggu bayangan kekasihnya.
“Suspek diganggu setiap masa, waktu maghrib dan bila-bila masa, dia ada (nampak) bayangan kekasih. Suspek telah menyerah diri ke balai polis,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
@daudyatim #Cegahkemungkaran ♬ original sound – DAUD