SEREMBAN – Seorang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah van yang hilang kawalan lalu merempuh beberapa buah kenderaan di lampu isyarat di jalan Haji Abdul Hamid berhadapan N-nine foodcourt, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Arifai Tarawe berkata, kemalangan berkenaan membabitkan lima buah kenderaan iaitu sebuah van, sebuah lori, dua kereta dan sebuah motosikal.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah van jenis Toyota Hiace yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun sedang bergerak terus di lorong kiri dari arah bandar Seremban menuju ke arah Temiang.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, van yang dipandu telah hilang kawalan lalu melanggar beberapa buah kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat iaitu sebuah motosikal jenis Honda RS yang ditunggang seorang lelaki berusia 62 tahun dan sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 64 tahun.
“Akibat pelanggaran, van tersebut juga telah hilang kawalan lalu terbabas menaiki tembok bahu kiri jalanraya dan melanggar sisi kiri sebuah lori jenis Mitsubishi FE yang dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Jelas Arifai lagi, Toyota Vios yang dilanggar menggelongsor ke hadapan lalu melanggar bahagian belakang lori yang sama di lokasi kejadian menyebabkan lori terlibat menggelongsor hadapan dapan dan terlanggar sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun.
Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kanan, luka di bahagian kepala dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban (HTJS). – KOSMO! ONLINE