PETALING JAYA – Sebuah stesen minyak yang didakwa sebagai stesen tertua di Malaysia ketika ini masih lagi utuh dan menjadi persinggahan kepada penduduk di pekan Johol, Negeri Sembilan sehingga hari ini.
Difahamkan stesen minyak tersebut yang telah dibina ketika sebelum negara mencapai kemerdekaan itu pernah ingin dirobohkan pada 2010 namun disebabkan permintaan orang ramai, stesen terbabit dikekalkan.
Stesen tersebut yang mempunyai saiz bangunan yang kecil didakwa telah melalui proses keselamatan oleh pihak syarikat sehingga membolehkan ia beroperasi sehingga kini.
Menerusi satu perkongsian di laman sosial Facebook, ternyata stesen minyak yang sudah berusia 100 tahun itu masih lagi digunakan oleh pelanggan di pekan terbabit.
Malah pengguna media sosial juga menyifatkan khazanah tersebut perlu dikekalkan bagi tatapan generasi negara akan datang.
“Mana lagi kita nak tengok stesen minyak lama macam ni, harap pihak syarikat terlibat kekalkan struktur asal ini. Betul ini sejarah yang patut kita simpan,” jelas Fadzlisham.
“Masih lagi elok, tegap. Bagus pemilik dia, orang dekat Jempol pun bagus masing-masing kekalkan dengan keadaan asal,” kata Wan Azuan.
“Pernah masa kecil dulu singgah di sini, kampung aku dekat Tampin. Memang beginilah keadaan sebelum ini pun, biarlah stesen lain ada kedai serbenaka sendiri tapi bagi aku stesen ni ada sejarah tersendiri,” jelas Wak Nismilan. – KOSMO! ONLINE