PETALING JAYA – “Waktu itu saya hanya fikir nak selamatkan nyawa orang, sebab kereta dia hampir tenggelam.
Demikian perkongsian Lans Koperal Muhammad Afizul Ismail, 34, yang menjadi ‘wira’ menyelamat seorang pemandu kenderaan ultiliti sukan (SUV) yang hampir lemas dalam kejadian banjir kilat berdekatan Jalan Chan Sow Lin petang semalam.
Menceritakan lebih lanjut, Muhammad Afizul yang bertugas di Balai Tun H.S. Lee berkata, ketika kejadian, dia menerima laporan terdapat seorang pemandu SUV terperangkap dalam kenderaan ketika mengharungi banjir kilat di kawasan berkenaan.
Jelasnya, sejurus menerima maklumat tersebut, dia terus bergegas ke lokasi kejadian.
“Kebetulan waktu itu saya sedang melakukan rondaan di kawasan berhampiran. Setibanya di lokasi kejadian, saya kemudian membuat penutupan jalan dan ketika itu saya lihat mangsa sedang panik di dalam kenderaannya.
“Saya memang tidak fikir apa-apa masa itu, dengan helmet (topi keledar) pun saya tak buka. Saya lihat kenderaan itu dah terapung dan air mula memenuhi dalam ruangan kenderaan mangsa.
“Tanpa berlengah saya terus terjun ke dalam air. Masa itu saya hanya fikir nak selamatkan mangsa sahaja,”katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Mengulas lanjut, Muhammad Afizul berkata, dia terpaksa meredah air pada kedalaman paras dagu atau lebih kurang 1.5 meter sebelum berjaya membuka pintu SUV dan membantu mangsa keluar dari kenderaannya dengan selamat.
“Saya rasa puas bila dapat selamatkan mangsa, walaupun semua barangan saya basah termasuk pakaian, telefon bimbit, ‘walkie-talkie’ serta senjata,”katanya yang sudah enam tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia.
Tambahnya lagi, kejadian semalam juga adalah pengalaman pertamanya menyelamatkan mangsa banjir dan jika khidmatnya diperlukan lagi selepas ini dia bersedia.
“Walaupun saya tahu ia berisiko tetapi dengan kursus dan sedikit pengalaman yang saya ada, saya harap kejadian semalam (kelmarin) dapat menyuntik semangat saya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat pada masa akan datang,”jelas anak jati Lahad Datu, Sabah itu.
Terdahulu Kosmo! semalam melaporkan seorang pemandu SUV terperangkap dalam banjir di bawah terowong Jalan Chan Sow Lin, diselamatkan oleh beberapa anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL).
Timbalan JSPT KL, Superintendan Zulkafli Che Lah berkata, mangsa yang menaiki kereta Nissan X Trail diselamatkan oleh tiga anggotanya sekitar pukul 6 petang.
Menurutnya, air naik di kawasan Jalan Chan Sow Lin menghala ke Jalan Pudu berpunca daripada hujan lebat di ibu negara petang semalam.-KOSMO! ONLINE