PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berpuas hati menyaksikan pasukannya mempamerkan aksi ‘lima bintang’ selepas membelasah wakil Indonesia, PSM Makassar 5-0 pada aksi peringkat kumpulan H saingan Piala AFC kelmarin.
Pada perlawanan di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali itu, skuad The Rhinos meraih jaringan hasil ledakan Darren Lok (dua gol), Gabriel Peres, Stuart Wilkin dan Farhan Roslan.
Kata Kim Swee, prestasi anak-anak buahnya wajar dipuji kerana tidak membuka sebarang ruang buat lawan mendominasi perlawanan selain memanfaatkan segala peluang yang dicipta.
“Kita boleh lihat pemain mengikut strategi yang dirancang kerana bukan mudah untuk beraksi dengan baik di tempat lawan. Situasi pasukan Makassar yang terpaksa bermain dengan 10 orang juga banyak membantu kami.
“Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ini tetapi masih terlalu awal untuk fikirkan slot ke pusingan kalah mati kerana masih ada empat perlawanan yang perlu diharungi.
“Selepas ini kita akan berehat bagi aksi antarabangsa dan saya mahu pemain kekalkan momentum apabila saingan kompetitif bermula semula nanti,” katanya selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, Kim Swee turut mengakui pemain import Sabah dari Indonesia, Saddil Ramdani boleh dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik Asia Tenggara ketika ini selepas melakukan tiga bantuan jaringan kelmarin.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, Saddil adalah salah seorang pemain yang berada pada kelas tersendiri dan tidak keterlaluan untuk mengatakan dia antara pemain terbaik di Asia Tenggara.
“Namun, kita tidak boleh terlalu memuji kerana ada ruang untuk meningkatkan prestasi memandangkan usianya masih lagi muda,” katanya.