PETALING JAYA – Buat julung kalinya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melaksanakan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) menerusi konsep jelajah merentasi 14 negeri di lokasi terpilih seluruh Malaysia.
Hari ini, PTPTN melancarkan BMS 2023 Peringkat Zon Timur bersempena dengan Sambutan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.
BMS 2023 yang bakal dijalankan sepanjang bulan Oktober ini merupakan sebuah program yang diadakan bertujuan untuk memartabatkan amalan menabung dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia.
Menurut Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM15.81 bilion dengan bilangan akaun berjumlah 6.04 juta akaun setakat 31 Ogos 2023.
“Di Terengganu, sehingga 31 Ogos 2023, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM275.11 juta dengan bilangan akaun sebanyak 300,786.
“Prestasi ini membuktikan Simpan SSPN terus cemerlang sebagai produk simpanan terbaik pilihan ibu bapa,” katanya menerusi sebuah siaran akhbar, hari ini.
Tahun ini, BMS 2023 membawa tema “Robotik : Ke arah Transformasi Dunia Pendigitalan” dengan mengekalkan cogan kata Jom Jadi Superhero Anak Anda.
“Konsep ini amat signifikan kerana sains dan teknologi robot berkait rapat dengan kemajuan dan memerlukan pengetahuan tentang teknologi terkini.
“Ia selari dengan agenda pendigitalan PTPTN yang memberi fokus kepada usaha menggalakkan penggunaan aplikasi myPTPTN kepada para peminjam dan pendeposit Simpan SSPN untuk urusan yang lebih mudah, cepat dan selamat,” katanya.
Menurutnya, Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia.
“Antara keistimewaannya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit serta dividen yang kompetitif.
“Selain itu, terdapat juga pemberian Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan,” katanya.
Selain itu, kempen dan promosi turut dipergiat bagi menyemarakkan lagi amalan penabungan antaranya dengan mengadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023.
Tambahnya, PTPTN akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung di dalam Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman.
“PTPTN yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai ‘Peneraju Tabung Pendidikan Tinggi Negara’,” katanya.
Untuk maklumat lanjut berkenaan BMS 2023, layari www.ptptn.gov.my/BMS2023. – KOSMO! ONLINE