BENTONG – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam berpandangan positif terhadap trend pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang menyaksikan peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi muda menunjukkan peningkatan memberangsangkan.
Beliau yang tiba di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi kira-kira 10.50 pagi sempat meninjau perjalanan pengundian dan menyantuni para pengundi di pusat mengundi itu.
Amizar berkata, jumlah pengundi muda yang memberangsangkan di saluran empat dan lima dilihat memberikan petunjuk positif kepada Barisan Nasional (BN).
“Ini salah satu yang kita harapkan, maksudnya tanggungjawab sebagai pengundi mereka telah menjalankan amanah.
“Insya Allah, apa yang mereka terjemahkan atas kertas undi itu sebagai mandat kepada saya,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Pusat Mengundi SMK Felda Chemomoi di sini hari ini.
Amizar yang merupakan generasi kedua Felda Chemomoi berkata, jumlah peratusan anak muda bagi saluran empat dan lima yang memberangsangkan seperti diumumkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dilihat sebagai satu sikap positif dalam kalangan anak muda.
“Hari ini, hari pengundian di PRK N.36 Dun Pelangai, saya ke sekolah saya dan Alhamdulillah saya dapat melihat perjalanan pengundian berjalan dengan teratur dan baik.
“Dan pagi ikni nampaknya pengundi masih beratur panjang, ini satu perkara yang baik kepada kerajaan dan juga terbaik kepada pengundi kerana inilah sikap yang terbaik kepada negara iaitu mengundi semasa PRK ini.
“Ini tanggungjawab, tanggungjawab untuk mengundi, kita (BN) pun telah bagi pendedahan kepada semua terutamanya anak-anak muda, inilah kewajipan kita untuk mengundi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE