JIKA dahulu legenda skuasy negara, Datuk Nicol David menyatakan kesanggupannya mahu menukar lapan gelaran Kejohanan Dunia miliknya kepada sebutir pingat Sukan Olimpik, hasrat yang sama juga disuarakan juara Asia, Ng Eain Yow.
Eain Yow, 25, yang masih segar dengan kejayaan pingat emas perseorangan lelaki Sukan Asia Hangzhou kelmarin, berharap khabar angin mengatakan skuasy mungkin dipertandingkan di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028) menjadi kenyataan.
Juara Asia sejak 2021 itu percaya ia dapat meningkatkan populariti skuasy di Malaysia yang masih di belakang sukan-sukan lain berbanding satu ketika dahulu sewaktu era kegemilangan Nicol.
“Ramai orang sudah tidak mengambil perhatian kepada arena skuasy selepas Nicol bersara. Kalau ikutkan skuasy, prestasi kita sangat bagus dan saya sendiri sudah dua kali juara Asia.
“Cumanya sukan ini tiada di Olimpik. Saya tak pasti bila sebab selalu orang cakap skuasy akan ada di Olimpik dan spekulasi sekarang mengatakan mungkin di LA 2028.
“Kalau skuasy masuk Olimpik, populariti sukan ini akan naik dan pembiayaan juga lebih bertambah. Sebagai pemain kami tak pernah menyerah sejak dari zaman Nicol lagi untuk skuasy berada di Olimpik,” katanya.
Eain Yow bersama skuad skuasy negara yang secara keseluruhan meraih tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa Sukan Asia Hangzhou, disambut meriah ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Kejayaan Eain Yow menamatkan penantian 13 tahun negara untuk meraih emas individu lelaki sejak Mohd Azlan Iskandar menjuarai edisi 2010 di Guangzhou, China.
Pencapaian S. Sivasangari sebagai juara perseorangan wanita membuktikan dominasi Malaysia yang kini telah menjuarai enam daripada tujuh edisi Sukan Asia dengan Nicol memenanginya sebanyak enam kali pada 1998, 2006, 2010, 2014 dan 2018.