fbpx

Penghidap ADHD boleh tutup mata, guna alat bantu visual sekiranya sukar khusyuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Ada beberapa langkah yang boleh penghidap masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD) lakukan untuk mengatasi masalah khusyuk dalam solat.

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi sebuah hantaran di laman Twitter, penghidap ADHD hendaklah sentiasa tenang namun jangan pernah berhenti berusaha untuk tingkatkan kualiti ibadah masing-masing.

Tambahnya, walaupun kesukaran yang dihadapi oleh penghidap ADHD itu sukar difahami orang lain, ia sebenarnya boleh diatasi melalui beberapa langkah tertentu.

“Saya mula kenal ADHD melalui kajian fiqh autisme, semasa menjawat jawatan Mufti dahulu. ADHD tidak berada pada spektrum autisme tetapi berkongsi beberapa persamaan simptom.

“Pertama sekali, terima penyakit tersebut (ADHD) dengan penuh redha. Allah SWT mencipta manusia dalam bentuk yg paling baik (ahsani taqwim). Ada kelebihan penghidap ADHD berbanding yang lain,” ujarnya.

Tambahnya, sekiranya penghidap ADHD mengalami masalah gangguan memori sehingga terlupa bacaan, beliau mencadangkan agar pesakit menggunakan alat bantu visual semasa solat.

“Ada pula penghidap ADHD yang mudah teruja dengan corak dan warna-warni sejadah sampai lupa rakaat, bacaan solat dan lain-lain.

“Sekiranya dengan menutup mata boleh membantu khusyuk, lebih afdal menutup mata kerana ia lebih hampir kepada maqasid solat,” katanya.

Tambah Dr. Zulkifli, jangan pernah berhenti berusaha kerana Allah sentiasa melihat kesungguhan hamba-Nya.

“Anda tidak keseorangan. Cari rakan yang boleh sentiasa membantu anda. Rahmat Allah itu luas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI