PEMILIK kediaman lazimnya lebih memilih untuk menata hias rumah dengan rona-rona cerah seperti putih atau coklat lembut.
Warna-warna gelap seperti hitam jarang sekali menjadi warna utama yang mendominasi kediaman kerana jika tidak kena caranya, ia akan membuat kediaman tampak lebih sempit dan suram.
Namun, paduan warna cerah dan gelap sebenarnya mampu menyuntik elemen elegan pada tata hias, sekali gus menjadikan kediaman mempunyai karakternya yang tersendiri.
Bagi Qhairawani Asyrani Ruslan, kediaman miliknya dan suami yang terletak di Rawang, Selangor itu didekorasi dengan menggabungkan rona cerah dan gelap.
“Proses mengubah suai kediaman mengikut cita rasa kami merupakan satu proses yang penuh mencabar.
“Namun, rasa puas apabila melihat konsep yang diinginkan itu berjaya diterjemahkan dengan baik,” katanya.
Konsep moden menjadi pilihan pasangan itu dan rona-rona cerah kebanyakannya diterapkan pada ruangan bawah kediaman dua tingkat itu.
Warna putih mendominasi ruang tamu kediaman yang dipadankan dengan rona gelap kayu pada kabinet televisyen dan juga pintu masuk utama.
Sofa jenis fabrik daripada rona kelabu cair menjadi pilihan Qhairawani pada ruangan itu. Sebagai menyuntik kelainan, dia turut meletakkan dua unit sofa rona merah gelap sebagai penyeri.
Hasilnya, ruang tamu itu tampak elegan dan tenang, sesuai sebagai ruang santai keluarga.
Menjengah ke ruang makan pula, Qhairawani memilih meja makan corak marmar yang dipadankan dengan kerusi baldu berwarna hitam.
Keseluruhan ruang juga masih didominasi rona putih bagi menyuntik kesenadaan.
Ruangan dapur turut diserikan dengan corak marmar pada bahagian dinding.
Kabinet dapur warna putih menjadi pilihan Qhairawani dan dihias ringkas tanpa peralatan dapur yang sarat.
Bagi ruangan bilik tidur utama pula, ibu kepada dua orang cahaya mata itu berkata, ia merupakan gabungan ideanya dan suami.
“Ramai bertanya kepada saya tentang dekorasi pada ruangan bilik tidur utama. Sebenarnya, bilik tidur utama bukanlah berwarna hitam, namun gabungan warna kelabu gelap dan juga rose gold.
“Suami sememangnya amat menyukai warna-warna gelap dan kalau diikutkan, mungkin keseluruhan bilik ini akan menjadi gelap.
“Namun, memandangkan kami berkongsi ruang yang sama, maka saya bolehlah menyelitkan warna-warna yang saya sukai pada ruang ini agar tidak kelihatan terlalu gelap,” katanya.
Jelasnya lagi, dia dan suami banyak berbincang tentang pemilihan warna utama pada kediaman dan akhirnya sepakat memilih warna cerah diutamakan pada tingkat bawah kediaman, manakala warna gelap pula lebih mendominasi tingkat atas.
Satu lagi ruang yang agak mencuri tumpuan pada kediaman Qhairawani adalah ruangan mencuci pakaian.
Biarpun ruang mencuci pakaian atau pun laundry area itu agak terhad, namun tetap dihias cantik, sesuai dengan konsep elegan.
Pemilihan rona hijau lembut pada kabinetnya tampak tenang dan seakan-akan sebuah kediaman lama di Eropah.