fbpx

OKU, kembar seiras antara pelajar baharu USIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM, Shamsul Aiman Mua’mar Shamsul Bahrin (kanan) bersama Muhammad Amirul Hakimi Muliyadi (kiri) pada Majlis Lonjakan Kuantum dan Lafaz Ikrar sempena Minggu Taaruf Pelajar Baharu Sarjana Muda di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai, semalam. Foto oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI/KOSMO!

SEREMBAN – Seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) dan sepasang kembar seiras antara 2,400 orang pelajar baharu yang mendaftar bagi pengambilan Sarjana Muda Sesi Akademik 2023/2024 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai dekat sini.

Pelajar OKU tersebut, Muhammad Amirul Hakimi Muliyadi, 19, yang berasal dari Labuan, mendaftar sebagai pelajar jurusan Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat.

Dia yang merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik itu memberitahu, dia memakai kaki palsu akibat kemalangan jalan raya yang dialaminya pada bulan Februari lalu.

“Saya mengalami kemalangan sehingga menyebabkan kecacatan di bahagian kaki kanan dan tangan kanan saya juga mengalami masalah lemah. Saya perlu menjalani fisioterapi tangan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) pada setiap bulan.

“Saya tidak menganggap kecacatan kaki sebagai penghalang. Lebih-lebih lagi USIM menyediakan fasiliti terbaik bagi penuntut OKU seperti saya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Lonjakan Kuantum dan Lafaz Ikrar sempena Majlis Pendaftaran Pelajar Baharu Sarjana Muda Sesi Akademik 2023/2024 di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai, semalam.

Menurut Muhammad, dia bercita-cita mahu menjadi seorang pegawai bank dan berharap dapat menyesuaikan diri dan diterima baik oleh rakan-rakan pelajar yang lain.

Dalam pada itu, pasangan kembar seiras, Siti Maisarah Mohamad, 19, dan Siti Umairah Mohamad, 19, juga bersama-sama mendaftar sebagai pelajar di USIM malah lebih menarik, mereka juga melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama iaitu Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa.

Pasangan kembar Siti Maisarah Mohamad, 19, dan Siti Umairah Mohamad, 19, ketika ditemui pada Majlis Lonjakan Kuantum dan Lafaz Ikrar sempena Minggu Taaruf Pelajar Baharu Sarjana Muda di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai, semalam. Foto oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI/KOSMO!

“Kami memasuki jurusan Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa di USIM kerana amat meminati bidang ini. Kami akan tinggal sebilik dan juga berada dalam kelas yang sama.

“Saya dan adik memang tidak pernah berenggang bagaimanapun sejak kecil kami mempunyai cita-cita yang berlainan, saya mahu menjadi polis manakala Siti Umairah mahu menjadi peguam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI