KLANG – Tindakan seorang lelaki memandu kereta Ford Mustang menggunakan nombor plat palsu memakan diri apabila ditahan pihak berkuasa di sekitar Jalan Kapar di sini, semalam.
Perkara itu dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor yang menahan individu berusia 36 tahun berkenaan, kira-kira pukul 11.40 pagi.
Timbalan Pengarah JPJ negeri, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, kenderaan mewah itu ditahan pihaknya selepas dilihat mencurigakan ketika rondaan rutin dilakukan di kawasan tersebut.
Jelas beliau, semakan lanjut mendapati Mustang itu mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain.
“Kenderaan tersebut didapati belum berdaftar dan tiada rekod dalam sistem JPJ. Justeru, notis dikeluarkan atas kesalahan pemalsuan dokumen dan disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Ahmad Kamarunzaman, Mustang itu dipercayai dalam proses penukaran nama dengan pemilik baharu.
“JPJ memandang serius perkara seumpama itu dan sentiasa menjalankan pemantauan berterusan ke atas semua jenis kenderaan agar mematuhi undang-undang,” katanya. – KOSMO! ONLINE