PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi sokongan penuh terhadap keputusan negara Arab Saudi untuk membida status tuan rumah Piala Dunia edisi 2034 akan datang.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, Arab Saudi berpotensi untuk menjadi negara Asia yang berjaya menganjurkan kejohanan bola sepak paling berprestij antarabangsa itu selepas Qatar menjadi tuan rumah tahun lalu.
Kata Hamidin, bidaan Arab Saudi ini hadir setahun selepas Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia pertama di Asia Barat yang diklasifikasikan sebagai berjaya oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.
“Lantaran itu, kami menyokong Arab Saudi sebagai satu lagi negara Asia yang mampu menyajikan Piala Dunia selepas Korea Selatan dan Jepun pada 2002 dan Qatar, 2022.
“Piala Dunia yang diadakan di Korea Selatan, Jepun dan Qatar amat menakjubkan dan kami yakin Arab Saudi juga mampu menganjurkan kejohanan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, FIFA telah mengeluarkan kenyataan untuk menerima bidaan dari negara Asia bagi penganjuran Piala Dunia edisi 2034.
Susulan itu, negara Arab Saudi tidak menunggu masa yang lama untuk menghantar bidaan awal pada Rabu lepas yang turut mendapat sokongan daripada AFC.
Badan induk bola sepak dunia itu sebelum ini telah mengesahkan status tuan rumah pada edisi 2030 bakal melibatkan enam negara di tiga benua berbeza seperti Sepanyol, Portugal, Maghribi, Argentina, Uruguay dan Paraguay.