fbpx

Lebih banyak peti peralatan keselamatan LiSA akan dipasang di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Jafni (tiga dari kanan) ketika hadir Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air Peringkat Negeri Johor di Pantai Awam Tanjung Balau, di sini hari ini.

KOTA TINGGI – Peti peralatan keselamatan Life Saving Appliances (LiSA) akan dipasang lebih banyak di negeri ini khususnya di kawasan pantai dalam usaha untuk membendung kes lemas yang berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, setakat ini terdapat tiga unit LiSA yang telah dipasang di Johor iaitu di Pantai Awam Desaru, Pantai Batu Layar dan Gunung Ledang Resort di Tangkak.

“Peti keselamatan LiSA ini membawa kebaikan buat orang awam dan perlu ditambah lagi terutama di semua kawasan pantai. Dijangka satu lagi unit LiSA juga akan ditempatkan di Pantai Tanjung Balau sebelum hujung tahun ini.

“Mungkin dalam permohonan belanjawan akan datang, kerajaan negeri akan memperuntukkan bagi menambahkannya lagi,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air Peringkat Negeri Johor di Pantai Awam Tanjung Balau, di sini hari ini.

Mohd. Jafni berkata, peti keselamatan LiSA mempunyai beberapa peralatan seperti jaket keselamatan, peti pertolongan cemas dan tali yang boleh digunakan orang awam untuk bantuan awal menyelamat mangsa.

Katanya peti berkenaan juga dilengkapi siren amaran kepada pengunjung dan memberikan notifikasi kepada balai berdekatan.

Dalam pada itu beliau berkata, sejak tahun 2021 hingga September tahun ini sebanyak 276 kes operasi menyelamat mangsa lemas dengan 110 daripadanya maut dan 13 cedera telah direkodkan di Johor.

Menurutnya, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor juga telah mengesan sebanyak 432 lokasi hot spot banjir sekali gus menekankan kepentingan pemasangan LiSA itu yang boleh digunakan ketika waktu kecemasan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI