fbpx

Lawatan ke UAE berjaya – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap di UAE semalam.

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai membuahkan hasil yang baik dengan berjaya menarik komitmen pelaburan berjumlah RM40.6 bilion (AS$8.6 billion).

Jelas Perdana Menteri itu, kini terpulang kepada pimpinan kerajaan serta kementerian dan agensi terbabit untuk menjadikannya realiti yang pada akhirnya akan menguntungkan negara serta rakyat.

“Sewaktu sidang akhbar sebelum berangkat pulang, saya maklumkan bahawa lawatan ke UAE ini sebagai membuahkan hasil yang baik dengan berjaya menarik komitmen pelaburan berjumlah RM40.6 bilion.

“Kini terpulang kepada pimpinan kerajaan serta kementerian dan agensi terbabit untuk bertiwikrama menjadikannya realiti, intiha ia akan menguntungkan negara dan rakyat kita sendiri,” ciap beliau di Twitter.

Tambah Anwar, pelaburan terbesar adalah melalui pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pelaburan Antarabangsa UAE (UAEIIC) berhubung kerjasama bagi menggalakkan pelaburan serta MIDA dan dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar berhubung projek-projek tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dengan kapasiti sehingga 10 gigawatt bernilai AS$8 bilion (RM37.8 bilion).

“Saya juga mahu memberi penekanan kepada bidang Kecerdasan Buatan (AI) kerana UAE telah mencapai kemajuan yang menakjubkan dalam bidang ini. Masdar City dibangunkan secara canggih, moden dan memenuhi keperluan hijau dan kewujudan universiti bertaraf dunia, Mohamed bin Zayed University of Artifical Intellegence (MBZUAI), yang pertama mengkhususkan bidang AI.

“Mereka (MBZUAI) memberi laluan untuk bekerjasama dengan Malaysia dan universiti-universiti tempatan serta pelajar-pelajar Malaysia untuk belajar di sana bagi program siswazah,” kata Anwar.

Anwar berkata sepanjang lawatan kerja itu, beliau berkesempatan bertemu dengan ramai tokoh-tokoh penting di UAE yang mewakili sektor ekonomi, perdagangan dan pelaburan termasuk Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan beberapa menteri kanan.

Perdana Menteri turut bertemu dengan pemegang taruh dana kekayaan berdaulat UAE, Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) dan syarikat-syarikat perniagaan terbesar di UAE seperti Mubadala, Lulu Group International, Aldar dan ILC.

Selain Masdar, komitmen pelaburan lain adalah dalam sektor logistik yang bernilai US$450 juta (RM2.1 bilion) dan sektor aeroangkasa bernilai US$150 juta (RM709 juta). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI