SABAK BERNAM – Lapan sepupu bersama pasangan mereka mencipta keunikan apabila diraikan dalam majlis persandingan beramai-ramai di Grand Sabak Hotel and Mini Convention Centre di sini, hari ini.
Bapa kepada tiga pasangan pengantin, Osman Munadi, 61, berkata penganjuran majlis itu bertujuan memenuhi hasrat ibunya, Kasinah Kasbullah, 85, yang ingin melihat semua cucunya bersanding serentak.
Katanya, biar pun ada yang sudah bernikah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, namun mereka turut diraikan sebagai mempelai.
“Emak memang terlalu mahu melihat kesemua lapan cucunya bersanding atas pelamin sama. Saya dan adik beradik lain bersyukur dapat mengumpulkan mereka dalam satu majlis yang turut mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Keterujaan itu turut dikongsi anaknya, Mohd. Azmie, 29, dan isteri, Siti Salwani Ibrahim, 28, yang bersanding biarpun dianggap sebagai ‘pengantin lama’.
“Kami berdua bernikah pada 27 November 2021 dan hanya mengadakan majlis kenduri secara kecil-kecilan berikutan PKP. Namun, saya kini gembira dapat mengabadikan detik bersejarah dalam hidup pada majlis perkahwinan beramai-ramai,” kata penyelia sebuah syarikat swasta itu. – KOSMO! ONLINE