BENTONG – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai amat signifikan kerana memberi noktah kepada kemaraan gelombang hijau.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemenangan ini membuktikan bahawa masyarkat di Pelangai begitu matang dan bijak dalam membuat pilihan dan menentukan wakil rakyat yang paling layak mewakili mereka.
“Kemenangan ini juga bermakna pihak BN telah berjaya menyekat Gelombang Hijau yang mereka canang dan banggakan selama beberapa bulan ini.
“Malah ia juga membuktikan masyarakat Pelangai tidak sesekali terpengaruh dengan kempen agresif pihak Perikatan Nasional (PN) yang mengamalkan prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’ sehingga sanggup menabur fitnah, memaki hamun, mengadu domba, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah serta memburukkan kerajaan Negeri Pahang dalam setiap siri ceramah mereka,”katanya di sini hari ini.
BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Pelangai dalam PRK DUN berkenaan apabila memperoleh majoriti 2,949 undi.
Dalam pertembungan tiga penjuru itu, calon BN, Datuk Amizar Abu Adam mendapat 7,324 undi dan Calon PN, Kasim Samat mendapat 4,375 undi manakala Calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni mendapat 47 undi.
Kerusi N36 Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Susulan itu, SPR menetapkan 23 September sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober hari pengundian PRK DUN Pelangai yang membabitkan 16,456 pemilih berdaftar.
Johari yang merupakan tokoh korporat berjaya dan kali pertama bertanding mewakili BN pada PRU15 lalu menang di kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.
Allahyarham menewaskan calon PN, Kasim Samat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) 2,031 undi dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang memperoleh 65 undi. – KOSMO! ONLINE