BENTONG – Calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat tiba di pusat pembuangan undi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chemomoi kira-kira pukul 8.21 pagi.
Beliau yang diiringi isterinya isteri Nor Atikah Abu Bakar, 55, selesai membuang undi kira-kira pukul 8.29 pagi.
Kasim berkata, dia bersyukur kerana perjalanan kempen berjalan lancar dan selesai membuang undi di saluran dua.
“Saya datang awal kerana ada berita menyatakan hujan pada sebelah petang dan saya menjangkakan peratusan keluar mengundi antara 65 peratus hingga 75 peratus.
“Saya meletakkan keyakinan 100 peratus berdasarkan dua minggu kempen, 75 peratus keluar mengundi sudah memadai untuk menang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kerusi N. 36 Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Susulan itu, SPR menetapkan 23 September ini sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober hari pengundian PRK DUN Pelangai membabitkan 16,456 pemilih berdaftar.
PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN) yang diwakili Datuk Amizar Abu Adam, Calon PN Kasim Samat dan calon bebas Haslihelmy DM Zulhasli. – KOSMO! ONLINE