fbpx

Kada bekalkan 32,000 kampit beras kepada Pertubuhan Peladang Kawasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad (berdiri, enam dari kiri) bersama kakitangan PPK Gunong selepas Majlis Pelancaran Jualan Beras Putih Tempatan di PPK Gunong, Bachok hari ini. Foto oleh TOREK SULONG/KOSMO!

BACHOK – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) membekalkan sebanyak 32,000 kampit atau 320 tan metrik beras putih tempatan kepada seluruh kedai peladang milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah seliaan agensi itu.

Pengerusi Kada, Muhammad Husain berkata, langkah itu dijalankan bagi menangani isu kekurangan sumber makanan ruji tersebut sekali gus menampung keperluan rakyat di Kelantan.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, setiap kedai PPK akan menerima sebanyak dua tan beras yang bersamaan dengan 200 kampit beras.

“Selain berkualiti, beras yang dibekalkan oleh Kada ini dijual jauh lebih murah berbanding beras import iaitu hanya RM26 untuk 10 kilogram (kg).

“Jadi, orang ramai yang berdekatan dengan kedai PPK boleh mendapatkan beras ini, namun semua pembeli dinasihatkan agar tidak membuat pembelian panik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jualan Beras Putih Tempatan di PPK Gunong di sini, hari ini.

Muhammad memberitahu, Kada telah turun ke lapangan untuk meninjau dan mengkaji keperluan beras di peringkat akar umbi bagi mencari jalan penyelesaian untuk meringankan bebanan orang ramai.

Katanya, sebagai jelapang kedua terbesar negara, Kada kini memiliki 26,833 hektar parcel padi yang diusahakan oleh petani yang seharusnya bekalan beras tempatan untuk kegunaan domestik tidak menjadi suatu masalah.

“Kada memperoleh sebanyak 120,000 tan padi bersamaan 60,000 tan metrik beras hasil tuaian bersih bagi musim kedua 2022. Jumlah itu mampu mengeluarkan hasil sebanyak enam juta kampit beras kepada pengguna.

“Peratus penanaman padi Kada telah mencapai 90 peratus daripada keluasan sebenar. Bagi musim pertama tahun ini, Kada selesai proses penanaman padi yang mencapai 92 peratus.

“Diharapkan hasil yang diperoleh meningkat dengan keadaan cuaca terkini berbanding musim dan tahun sebelumnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI