BAGAN DATUK – Seorang wanita tidak menyangka dua mangsa kemalangan yang terbaring kaku di atas jalan raya di Kilometer 45, Jalan Hutan Melintang-Bagan Datuk adalah anak-anaknya.
Rabiatun Adawiyah Azman, 33, berkata, dia ketika itu dalam perjalanan untuk menghantar seorang lagi anaknya berusia 10 tahun ke sekolah, namun berhenti untuk melihat kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal dan kereta.
“Gerak hati saya kuat untuk melihat. Alangkah terkejut apabila melihat mereka dua beradik yang terbaring di atas jalan.
“Mereka berdua cedera parah, saya hanya mampu menangis. Sekelip mata dua anak pergi selamanya meninggalkan kami,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, Muhammad Lutfil Faiq, 15, dan adiknya, Nur Lidiya Faiqah, 13, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan dada.
Nahas membabitkan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang kedua-dua mangsa dan sebuah kereta Perodua Viva dipandu wanita berusia 28 tahun.
Difahamkan, lokasi kejadian itu hanya kira-kira 300 meter dari sekolah dua beradik tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muara di sini.
Tambah suri rumah berkenaan, kebiasaannya dia akan keluar bersama-sama dua beradik itu ke sekolah dari rumah mereka di Kampung Pasang Api di sini.
“Saya akan menghantar seorang lagi anak ke sekolah berdekatan dengan mereka. Namun pada hari kejadian, mereka keluar awal untuk ke sekolah manakala saya lewat dari kebiasaan,” ujarnya.
Menurutnya, tiada petanda luar biasa ditunjukkan Muhammad Lutfil dan Nur Lidiya kecuali mereka berdua mencium bapanya sebelum ke sekolah.
“Sebelum ini mereka biasa salam tangan ayahnya saja. Memang apa yang berlaku ini mengejutkan kami sekeluarga tetapi kami reda dengan ketentuan Allah,” katanya.
Sementara itu, pemergian kedua-dua beradik itu amat dirasai oleh rakan-rakan dan jiran dengan rata-ratanya menyifatkan kelakuan mereka sangat disenangi ramai.
Seorang jiran dua beradik itu, Mohd. Sarani Yup, 51, berkata, dia selalu melihat remaja tersebut menunaikan solat di masjid dan rajin menegur mereka yang lebih tua daripadanya.
“Setiap kali saya ke masjid arwah mesti ada di sana. Dia memang mudah mesra dengan orang lain terutamanya dengan golongan lebih berusia,” katanya.