PETALING JAYA – Pemuda berusia 27 tahun, Muhammad Daniel Haikal, yang dikhuatiri hilang selepas menjalankan urusan penjualan telefon bimbit dengan pelanggan yang tidak dikenali di Pulau Pinang dilaporkan telah pulang ke rumah dalam keadaan selamat.
Menurut hantaran di Instagram ibu saudaranya, @lameraheyra, Muhammad Daniel telah dihantar pulang oleh seorang pemandu lori.
Tambahnya, anak saudaranya itu juga mengalami kecederaan pada kawasan muka serta badan.
“Semoga Allah membalas jasa semua yang membantu saya untuk menularkan kes kehilangan anak saudara saya, Muhammad Daniel. Terima kasih juga kepada pemandu lori yang menyelamatkannya.
“Buat masa sekarang, anak saudara saya masih dalam keadaan trauma, penat dan tidak mampu untuk bercerita apa-apa,” katanya dalam hantaran sama.
Terdahulu, Muhammad Daniel dipercayai hilang selepas menjalankan urusan penjualan telefon bimbit, iPhone dengan pelanggan yang tidak dikenali di Pulau Pinang.
Menerusi Instagram ibu saudara pemuda tersebut, Eyraswan Ramadan meminta orang ramai membantu mencari anak buahnya itu setelah tidak pulang ke kediamannya di Kuala Lumpur sejak 3 Oktober lalu.
Daripada tangkap layar log aktiviti, kali terakhir Muhammad Daniel dikesan berada di kawasan George Town.
Menurut Eyraswan, anak saudaranya itu ada membuat panggilan video kepada tunangnya untuk meminta pertolongan.- KOSMO! ONLINE