fbpx

Beri lebih masa jemaah menteri tunjuk prestasi – Khairy Jamaluddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy.

JOHOR BAHRU – Jemaah menteri kabinet kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberi lebih masa untuk menunjukkan prestasi mereka di kementerian masing-masing.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, langkah merombak Kabinet dilihat terlalu awal dan tidak sesuai dilaksana selepas kerajaan sedia ada ditubuhkan kurang setahun pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sebaliknya, tindakan terbaik yang boleh diambil Perdana Menteri adalah dengan mengisi kekosongan jawatan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Perdana Menteri ada dua pilihan. Satu dengan mengisi kekosongan manakala kedua melakukan rombakan. Tetapi pada pandangan saya terlalu awal untuk diadakan rombakan besar-besaran kepada barisan jemaah menteri.

“Ini kerana belum cukup setahun lagi, tempoh singkat seperti itu tidak cukup buat menteri menunjukkan prestasi masing-masing. Jadi sekiranya mahu diadakan rombakan mungkin selepas tempoh dua tahun atau pertengahan penggal.

“Itu langkah terbaik untuk bersikap adil kepada jemaah menteri, jadi paling mudah adalah mengisi kekosongan yang ada di dalam KPDN ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Johor International Youth Conference 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.

Khairy Jamaluddin yang juga bekas Menteri Kesihatan turut memberitahu, beliau percaya kekosongan jawatan di kementerian itu akan diisi calon daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan bukan parti komponen kerajaan lain.

“Kalau tengok pada pembahagian tanggungjawab, saya nampak Perdana Menteri sangat berhati-hati dan beliau juga sangat menghormati rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan.

“Walaupun jawatan itu bukan kuota rasmi Amanah, tetapi secara tidak rasmi persetujuan awal telah dicapai. Jadi saya yakin Perdana Menteri akan beri jawatan itu kepada wakil Amanah bagi menghormati persetujuan awal antara mereka.

“Soal siapa calon terbaik dalam Amanah untuk menjawat jawatan berkenaan, itu perlu ditanya terus kepada Perdana Menteri,” jelasnya yang juga merupakan Penasihat Belia Johor.

Sejak kebelakangan ini, pelbagai spekulasi dibuat mengenai rombakan Kabinet dengan beberapa nama besar turut dikaitkan termasuk Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan dan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Desas-desus rombakan Kabinet timbul selepas jawatan Menteri KPDN kosong kerana kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Julai lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI