fbpx

Amizar ikrar laksana amanah, teruskan legasi Allahyarham Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIZAR (kiri) mencium tangan bapanya, Abu Adam Juasi selepas diumumkan memenangi PRK DUN Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di Bentong hari ini.

BENTONG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam berikrar akan menjalankan amanah yang diberi dengan sebaik mungkin bagi membela masyarakat pelbagai kaum di DUN berkenaan.

Beliau juga berjanji akan meneruskan legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dalam membangunkan Pelangai.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana memberi kemenangan kepada BN, terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta semua pengurusan parti dan komponen yang sama-sama melibatkan diri dan tidak ketinggalan saya mengucapkan terima kasih kepada seorang yang sangat bermakna kepada saya iaitu Tan Sri Adnan Yaakob.

“Terima kasih kepada pengundi DUN Pelangai yang telah memilih BN sebagai parti yang akan memberikan perkhidmatan di DUN Pelangai,” katanya di sini hari ini.

Menurut Amizar, beliau akan memulakan tugas pertama sebagai wakil rakyat dengan bertemu pengundi esok.

BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Pelangai dalam PRK DUN berkenaan apabila memperoleh majoriti 2,949 undi.

Dalam pertembungan tiga penjuru itu, Amizar mendapat 7,324 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat mendapat 4,375 undi dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasni mendapat 47 undi.

Kerusi N36 Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian Johari yang terlibat nahas pesawat di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Susulan itu, SPR menetapkan 23 September sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober hari pengundian PRK DUN Pelangai yang membabitkan 16,456 pemilih berdaftar.

Johari yang merupakan tokoh korporat berjaya dan kali pertama bertanding mewakili BN pada PRU-15 lalu menang di kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.

Allahyarham menewaskan calon PN, Kasim Samat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) 2,031 undi dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang memperoleh 65 undi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI