SEBERANG PERAI – Seorang ahli perniagaan terpaksa berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM534,500 lesap selepas diperdaya sindiket phone scam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT) telah menerima laporan berhubung kejadian berlaku, Rabu lalu.
Menurutnya, pengadu berusia 50 tahun itu mendakwa telah menerima satu panggilan daripada seorang individu yang menyamar sebagai seorang pegawai dari sebuah syarikat kurier terkenal.
“Pengadu dimaklumkan terdapat satu bungkusan yang tidak dituntut atas namanya yang mengandungi barangan salah seperti kad bank dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta menerima panggilan daripada dua individu yang mendakwa sebagai pegawai polis.
“Panggilan pertama kononnya telah dibuat dari IPK Kangar untuk mengambil laporan kerana ada individu lain yang telah menggunakan maklumat pengadu untuk menghantar barang yang salah.
“Sementara itu, panggilan kedua pula memberitahu bahawa pengadu telah terlibat dengan penyeludupan dadah dan penggubahan wang haram. Oleh itu, dia diminta untuk melapor diri setiap empat jam sekali kepada suspek (ketiga),” katanya di sini, malam tadi.
Cheng San berkata, suspek sama turut meminta pengadu untuk memuat turun aplikasi ‘BNM’ dan mengarahkan mangsa untuk membuka akaun baharu.
“Pengadu kemudian diarahkan untuk memasukkan maklumat akaun bank yang baharu dibuka dalam aplikasi itu dan memindahkan wangnya berjumlah RM466,500 ke akaun bank berkenaan kononnya bagi tujuan siasatan selain diminta untuk tidak menyentuh akaun dan wang dalam akaun selama tiga bulan.
“Pengadu juga mendakwa telah diarahkan untuk melakukan tiga kali pindahan wang ke dua akaun berbeza yang berjumlah RM86,000,” ujar beliau.
Beritahu Cheng San, pengadu bagaimanapun hanya menyedari yang dia ditipu selepas membuat semakan akaun bank dan mendapati wang tersebut telah dipindahkan ke beberapa akaun lain sehingga menyebabkan kerugian keseluruhan sebanyak RM534,500.
Justeru katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila berurusan dengan orang yang tidak dikenali selain membuat semakan terhadap akaun-akaun persendirian sebelum membuat apa-apa bayaran jika diminta,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE