GEORGE TOWN – Tiga premis makanan di Bukit Jambul di sini diarah menutup operasi perniagaan dengan serta-merta bagi tempoh 14 hari, mulai semalam selepas didapati gagal mematuhi syarat lesen dan tahap kebersihan kedai.
Tindakan penguatkuasa itu dilakukan Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi satu operasi bermula pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), operasi tersebut melibatkan pemeriksaan sebanyak lima buah premis makanan dan lima penjaja di kawasan sekitar Bukit Jambul.
Menurutnya, sebanyak tiga buah premis makanan diperintahkan tutup perniagaan dengan serta-merta bagi tempoh selama 14 hari berkuat kuasa semalam sehingga 19 Oktober ini.
“Tindakan rampasan dibuat terhadap dua premis makanan dan dua penjaja. Sebanyak tiga premis dikompaun dan dua notis dikeluarkan menerusi operasi tersebut,” katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, antara kesalahan-kesalahan pemilik premis dan para penjaja tersebut adalah seperti penemuan najis tikus, lipas dan perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik.
Kesalahan lain adalah tidak mempunyai lesen sah MBPP untuk menjalankan perniagaan serta meletak peralatan perniagaan yang mendatangkan halangan di siar kaki selain para pekerja tidak mendapatkan suntikan anti tifoid.
“Tindakan pemantauan dan penguatkuasaan tegas Jabatan Pelesenan MBPP akan
dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pengusaha makanan atau premis perniagaan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE