ABU DHABI, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) – Sekumpulan penduduk UAE menemui lebih 140 ekor kucing yang dibuang di sebuah kawasan padang pasir di ibu negara, Abu Dhabi dalam insiden yang mencetuskan kritikan pertubuhan hak asasi haiwan antarabangsa, lapor laman berita CNN semalam.
Kucing dari semua baka itu dibiarkan mati terkurung dalam sangkar atau dibiarkan berkeliaran di padang pasir tanpa makanan, tempat tinggal dan air, kata seorang penduduk Abu Dhabi, Chiku Shergill yang menyertai usaha menyelamat haiwan tersebut.
Haiwan itu ditinggalkan di seberang lebuh raya dari Pusat Perlindungan Haiwan Abu Dhabi yang dikendalikan kerajaan di al-Falah iaitu sebuah kawasan perumahan di Abu Dhabi.
Pusat perlindungan tersebut memberitahu CNN bahawa pihaknya tidak menyedari kejadian itu dan enggan mengulas lanjut.
Menurut pengiraan pasukan penyelamat, terdapat 50 kucing yang mati, manakala pihaknya menyelamatkan 95 ekor haiwan tersebut sejak 28 September lalu.
Seekor anjing turut diselamatkan dan seekor lagi ditemui mati tetapi sesetengah haiwan itu mempunyai cip mikro, menunjukkan bahawa ia tidak sesat.
Dalam pada itu, pertubuhan hak asasi haiwan, Layanan Etika Orang Ramai Terhadap Haiwan (PETA) menawarkan ganjaran AS$5,000 (RM23,637) untuk maklumat tentang sesiapa yang membuang kucing di padang pasir, kata Naib Presiden PETA Asia, Jason Baker. – AGENSI