PETALING JAYA – UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan pelancaran aplikasi terbaharu, Toyota MY untuk peranti iOS dan Android yang menyepadukan ciri-ciri aplikasi Toyota Drive dan Toyota 24Seven ke dalam satu platform yang mudah untuk digunakan.
Menerusi aplikasi tersebut, pemilik Toyota boleh mengakses maklumat penting berhubung kenderaan mereka dengan mudah, menetapkan temu janji servis kenderaan, melihat mata keahlian Loyal-T, meminta bantuan tepi jalan 24Seven, mencari cawangan Toyota berdekatan dan banyak lagi.
Ia juga akan berfungsi sebagai hab pusat untuk berita dan promosi terkini Toyota, serta menjadi platform digital utama UMWT untuk memperkenalkan inovasi dan penambahbaikan.
Dengan pengenalan aplikasi Toyota MY, kedua-dua aplikasi Toyota Drive dan Toyota 24Seven aplikasi akan ditamatkan secara berperingkat.
Presiden UMW Toyota, Datuk Ravindran K. menekankan falsafah ‘kaizen’ yang bermaksud peningikatan berterusan di sebalik aplikasi baharu itu.
“Penggunaan falsafah ini bersifat meluas bukan sahaja kepada reka bentuk dan pembuatan kenderaan, tetapi juga kepada pengalaman dan titik sentuh pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE