IPOH – Padah menampar isteri kerana berang tidak diberikan wang, seorang penganggur akhirnya menerima balasan apabila dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, R. Kumaran, 32, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan kepada isterinya, R. Santhini, 32, di ruang tamu sebuah rumah di Taman Kledang Emas di Ipoh pada pukul 6.45 petang, 4 Oktober 2023.
Dalam prosiding sama, tertuduh juga mengaku bersalah kerana didapati gagal mengemukakan kad pengenalan diri ketika diminta oleh Inspektor Ishak Jumain di lokasi sama pada pukul 1.20 petang, 5 Oktober 2023.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan dan hukuman berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 5 Oktober lalu.-KOSMO! ONLINE