PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat penglibatan beberapa individu didakwa terlibat dalam rasuah dan pengubahan wang haram semasa usaha pemulihan aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh kerajaan.
Menurut sumber, salah seorang individu terlibat adalah seorang peguam yang didakwa menerima sejumlah wang rasuah dikatakan telah di laburkan di dalam sebuah syarikat yang menjalankan pelaburan tidak berlesen serta pernah diambil tindakan oleh Bank Negara (BNM) pada tahun 2021.
“Peguam terlibat juga sebelum ini dikatakan telah dilantik oleh 1MDB bagi menyelesaikan isu aset 1MDB dengan syarikat luar negara.
“Pegawai SPRM telah hadir ke firma guaman terlibat hari ini bagi mendapatkan dokumen berkaitan penyiasatan tersebut,” katanya, di sini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi, mengesahkan siasatan tersebut.
“Kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009 serta kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” ujarnya.
Tambah Azam, SPRM juga menafikan kehadiran pegawainya ke premis peguam tersebut menyalahi mana-mana akta yang berkuat kuasa kerana pihaknya mematuhi peraturan serta menyedari privasi antara peguam tersebut dan klien-kliennya.
Terdahulu, media melaporkan, peguam peribadi kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Rosli Dahlan mendakwa SPRM menyerbu firma guamannya pukul 10.30 pagi tadi.
Katanya, seramai 12 pegawai SPRM menyerbu firma guaman Rosli Dahlan Saravana (RDS) yang menuntut kuasa penyiasatan untuk mengakses seluruh pejabatnya.
Beliau berkata, pegawai SPRM yang diketuai individu bernama Mohd. Farid Ismail, Mohamad Safwan Arbangi dan Siti Aida Khairudin menuntut hak menggeledah dan merampas dokumen-dokumen di firma tersebut. – KOSMO! ONLINE