KUALA LUMPUR – Pelakon Adam Shahz mengakui tidak serik untuk mendirikan rumah tangga, malah mendedahkan hampir setiap hari menerima mesej dalam Instagram daripada ramai wanita termasuk berstatus janda mengajaknya berkahwin.
Adam atau nama lengkapnya Nor Shah Azli Abdol Ghani, 42, ketika ditemui Kosmo! Online berkata, dia yang sudah lima tahu memegang status duda bagaimanapun belum terfikir untuk menamatkan zaman solonya kerana mahu menabur bakti dengan menjaga ibunya, Rokiah Leman, 62, di kampung.
“Kahwin? Nak kata serik itu tidaklah. Sebagai seorang lelaki, saya mestilah mempunyai keinginan untuk berkahwin. Cuma ada banyak lagi perkara yang perlu saya berikan perhatian.
“Sekarang saya mahu fokus pada keluarga dan menjaga ibu yang tidak berapa sihat di kampung,” katanya.
Pada masa sama, Adam ketika ditemui semasa sidang media teater Dang Anum, di sini, semalam turut mengakui ada berkawan dengan seseorang, namun belum merancang untuk ke fasa yang lebih serius kerana mahu memberi tumpuan pada ibu selain kerjaya lakonannya.
“Berkawan dengan seseorang itu ada. Cuma saya ada banyak perkara lain yang perlu diberikan perhatian,” katanya yang mengelak untuk berkahwin dengan wanita berstatus selebriti.
Dalam pada itu, pelakon drama Juvan aitu mengakui ada menerima banyak mesej daripada wanita tidak dikenali, termasuk berstatus ibu tunggal yang mengajaknya untuk berkenalan dan berkahwin.
Namun, Adam mengambil pendekatan untuk tidak melayan mesej-mesej sebegitu kerana tidak mahu berpanjangan.
“Selama menjadi duda dan bapa tunggal ini, saya tidak pernah dipandang sinis, tetapi orang asyik nak ‘try’ (cuba). Kalau tengok mesej dalam Instagram yang saya terima, memang banyak (ajak berkahwin).
“Malah ada yang ajak saya berkahwin selepas mendakwa ‘bertemu’ dalam mimpi. Tidak kurang juga ada yang menyifatkan saya sebagai pasangan yang secocok dengan mereka kerana sama-sama melalui kisah hidup yang hampir serupa.
“Nak balas mesej daripada orang yang saya kenal dalam Instagram pun jadi tidak selesa. Sebab kalau saya buka (mesej), takut mereka yang hantar mesej pada saya tahu saya sedang ‘online’. Sudahnya saya akan pandang sahaja kiriman itu tanpa membalasnya,” ujarnya.
Terdahulu, Adam pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Fatin Afeefa pada 2013 dan sah bercerai pada 2017. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ivy Herra Sophia, 8. – KOSMO! ONLINE