TAMPIN – Seorang peniaga buah-buahan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pencerobohan kebun milik individu lain di Gemencheh, semalam.
Tertuduh, Muhammad Aliff Wahab, 36, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Mahkamah turut menetapkan tertuduh di penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, kira-kira pukul 11.15 pagi semalam di kebun buah-buah milik seorang individu, tertuduh telah melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki premis tersebut tanpa kebenaran.
Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau dengan denda hingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, seorang pemilik kebun membuat laporan polis kira-kira pukul 7.30 malam, selepas kebunnya di Gemencheh, di ceroboh seorang lelaki tidak dikenali.
Lelaki berkenaan mendakwa ingin membeli buah di kebun tersebut namun bertindak melarikan sebaik menyedari kehadiran pengadu dan perbuatannya dirakam pengadu.
Tangkapan tertuduh adalah berdasarkan kepada nombor pendaftaran motosikal yang diberikan pemilik kebun itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE