fbpx

NATO jangan gentar hadapi perang nuklear

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
: LETUPAN akibat ujian senjata nuklear di Mururoa, Polynesia Perancis pada 1 Januari 1970. – Getty Images

BRUSSELS, BELGIUM – Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menerbitkan satu artikel hasil tulisan bekas pegawai pertahanan Amerika Syarikat (AS) yang menyeru pakatan tentera berkenaan menentang dan memenangi perang nuklear terhad melawan Russia, lapor laman berita RT kelmarin.

Gregory Weaver yang merupakan bekas penasihat kanan pertahanan nuklear dan peluru berpandu kepada Ketua-Ketua Turus Bersama AS berkata, sekiranya Washington dan Beijing bertempur melibatkan konflik Taiwan, perang besar-besaran akan menyusul di Eropah.

Menurutnya, berbeza dengan doktrin nuklear Russia, Moscow bersedia menggunakan senjata nuklear taktikal, sama ada untuk mengelak kekalahan di me­dan perang atau membawa kemenangan segera dalam perang konvensional di Ukraine.

“Dalam senario sedemikian, kepimpinan tentera Russia menganggap Barat tidak akan bertindak balas dengan cara sama kerana bimbang situasi akan meningkat menjadi tidak terkawal termasuk tercetusnya perang nuklear AS-Russia,” kata Weaver.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa Barat tidak perlu takut kepada perang nuklear, dan harus menerima situasi itu.

“NATO perlu melengkapkan jet pejuang dan kapal selamnya dengan senjata nuklear taktikal untuk menghalang serangan nuklear taktikal Russia.

“Tindakan sedemikian akan menyakinkan kepimpinan Russia bahawa NATO bersedia sepenuhnya untuk menentang penggunaan serangan nuklear terhad dengan tindak balas nuklear kita sendiri,” katanya.

Doktrin Kremlin hanya membenarkan penggunaan senjata nuklear sekiranya serangan pertama menimpa wilayah atau infrastruktur milik Moscow atau jika kewujudan negara Russia terancam sama ada oleh senjata nuklear mahupun konvensional.

Walaupun garis panduan senjata nuklear Moscow jelas, kata Weaver, Russia mungkin melancarkan senjata pemusnah besaran-besaran itu ke atas negara-negara NATO sekiranya AS berkeras memerangi China berhubung konflik Taiwan.

Bagi berdepan situati itu, beliau menyarankan NATO untuk memindahkan keupayaan serangan nuklear lebih tepat ke Eropah.

Katanya, ini boleh dilakukan dengan negara-negara Eropah membentuk beberapa kor perisai moden di negara rantau Balkan dan Eropah Timur, manakala AS pula menyediakan lebih banyak senjata nuklear taktikal.

Weaver bagaimanapun tidak menyebut mengenai kesan perang nuklear ke atas negara-negara Eropah sekiranya konflik seumpamanya berlaku. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI