MADRID, Sepanyol – Seorang ekspatriat yang menetap di Sepanyol berpura-pura mengalami seragan jantung di sekurang-kurangnya 20 restoran untuk mengelak membayar bil makanan.
Akhbar The Sun melaporkan, lelaki berusia 50 tahun asal Lithuania itu dihukum penjara kerana gagal membayar dua denda selepas penipuannya terbongkar.
Gambar yang diedarkan untuk memberi amaran kepada restoran lain memaparkan senario lelaki itu berpura-pura rebah di atas lantai.
Dia akan melakukan penipuan sama hampir setiap kali mengunjungi restoran yang menjadi sasaran terutamanya di Costa Blanca.
Seorang pemilik restoran berkata, lelaki itu akan memesan beberapa gelas minuman keras selepas menikmati hidangan salad. Dia kemudian berlakon mengalami serangan jantung.
Antara restoran yang pernah ditipu ialah EL Buen Comer dan Sale&Pepe, kedua-duanya di bandar Alicante.
Pengurus restoran El Buen Comer berkata: “Ia sangat dramatik, dia berpura-pura pengsan dan merebahkan dirinya di atas lantai.
“Kami menyebarkan gambarnya ke semua restoran untuk menghalangnya menipu lagi,” katanya.
Ekspatriat itu kini dipenjarakan selama 42 hari selepas enggan membayar dua denda. – Agensi